Wednesday, April 22

B Bintang: Nik Aziz patut jadi presiden PAS(Malaysiakini.com)


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dicalonkan sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ketegasannya mempertahankan dasar parti itu, kata PAS Bukit Bintang.

Kawasan buat pertama kali mencipta kegemparan dalam parti apabila mencalonkan mursyidul am itu untuk mencabar Abdul Hadi - dua tokoh teratas PAS ini beberapa kali pernah bergeser secara terbuka dalam isu muzakarah dengan Umno dan kerajaan campuran dengan BN.

Yang dipertua baru PAS Bukit Bintang, Radhi Hashim berkata, keputusan mencalonkan menteri besar Kelantan disebabkan kerana ketegasan menteri besar itu memimpin parti.

"(Kerana) ketegasan beliau dalam apa jua tindakan kerja beliau tanpa mengurangkan (kewibawaan) pemimpin lain," katanya, apabila diminta mengulas motif kawasan tersebut menamakan Nik Aziz.

"Dapat ketua baru, dapat semangat baru," tambah Radhi kepada Malaysiakini.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh 12 anggota jawatankuasa kerja kawasan itu yang baru dilantik dalam mesyuarat agung, Ahad lepas di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu sejurus selepas mesyuarat agung, katanya.

Ditanya masalah kesihatan yang sering mengganggu Nik Aziz, Radhi berkata ia "memang dalam pengetahuan kita tetapi kita nampak beliau bekerja, (kita) rasa semakin bersemangat."

Mesyuarat jawatankuasa kawasan itu juga sebulat suara mencalonkan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan timbalan presiden, mencabar Nasharuddin Mat Isa.

Manakala bagi jawatan naib presiden pula, Bukit Bintang mencalonkan dua tokoh baru, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan Hanipa Maidin.

Kedua-dua pemimpin tersebut, adalah ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Datuk Husam Musa dicalon untuk mengekalkan jawatan naib presiden.

Sementara itu, PAS kawasan-kawasan Batu dan Selayang yang mengadakan mesyuarat agung minggu lalu mencalonkan Abdul Hadi untuk mengekalkan jawatannya.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden, Batu inginn mengekalkan Nasharuddin.

Selayang pula menamakan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din untuk jawatan tersebut.

Kawasan itu sebaliknya meletakkan Nasharuddin untuk jawatan naib presiden.

Kedua-dua kawasan itu mencalonkan Husam dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ahli parlimen Bukit Gantang, untuk jawatan naib presiden.

Batu menamakan Mohamad untuk mempertahankan jawatannya sekarang.

Gobind cabar penggantungannya di mahkamah


Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh yang digantung selama setahun daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, akan membawa kes itu ke mahkamah esok.

Saman tersebut akan difailkan terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata bapa Gobind, Karpal Singh.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang membatalkan penggantungan Speaker DUN Perak, V Sivakumar ke atas Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exco kerajaan negeri.

"Kes Perak itu telah mewujudkan duluan (precedent) untuk membawa perkara (penggantungan) tersebut ke Mahkamah Persekutuan," kata Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Tindakan Gobind itu, bila difailkan esok, merupakan yang pertama dibuat terhadap keputusan speaker Dewan Rakyat.

Bulan lalu, Gobind telah digantung selama setahun, tanpa sebarang bayaran elaun dan faedah lain, ekoran kenyataannya dalam dewan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. malaysiakini.

Media asing sudah mula burukkan imej Najib, kata Mahathir


Belum pun tiga minggu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang keenam, tetapi media Barat sudah memulakan langkah memburuk-burukkan beliau, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir menambah, dari Perancis sehingga ke Britain dan Australia, rencana-rencana yang disiarkan membawa mesej yang sama dengan dipercayai maklumat disalurkan oleh rakyat tempatan.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

"Perdana Menteri yang baru dikatakan amalkan rasuah dan terlibat dalam kes bunuh.

"Penulis Australia mengatakan bahawa Malaysia adalah negara pariah," kata Dr. Mahathir sambil menambah, "saya tidak boleh percaya usaha memburuk-burukkan yang begtiu banyak berlaku pada waktu yang sama secara kebetulan."

Turut disertakan dalam usaha mengecam Perdana Menetri baru ialah dakwaan bahawa beliau akan membawa kembali konsep kepimpinan "Mahathirism".

"Dengan ini, akhbar Barat nampaknya cuba menunjukkan yang Perdana Menteri keempat (Dr. Mahathir) merupakan seorang diktator yang menangkap orang tanpa sebab, memanipulasikan kehakiman, mengawal media dan sebagainya," katanya.

Justeru kata Dr. Mahathir, beliau menyerahkan kepada rakyat Malaysia untuk menghakimi dan mendefinisikan konsep "Mahathirism".

"Mereka adalah pengundi yang Najib perlu mengambil berat. Media asing mempunyai agenda sendiri," kata beliau dalam blognya.

Rakan-rakan media Barat di Malaysia pula menyalurkan dengan berita anti-Najib, jelas beliau.

Katanya lagi, Najib boleh menjangkakan lebih banyak laporan sedemikian daripada akhbar-akhbar asing.

Pun begitu, apa yang rakyat Malaysia fikir adalah penting dan Perdana Menteri perlu membersihkan imejnya dari segi persepsi mereka. Mstar.

Sunday, April 19

Mahkamah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires' - Dr Aziz Bari


Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR, 18 April : - Meskipun keputusan mahkamah mengisytiharkan tindakan Speaker DUN Perak menggantung Dato Dr Zambry Kadir mengecewakan banyak pihak, ia terpaksa diterima.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tertinggi negara pada 16 April lalu. Dalam keputusan lisannya mahkamah membuat keputusan sebulat suara. Ketika menyampaikan keputusan itu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sherif memutuskan bahawa Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.

"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.

Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Ditanya mengenai Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak beliau berkata: "Peruntukan itu hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir perlembagaan negeri. Peruntukan ini tidak memberi lesen kepada mahkamah untuk berbuat sesuka hati dan membelakangkan perlembagaan."

Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu tersebut.

Mengenai soal pembahagian kuasa (separation of powers) pula Aziz mendedahkan Mahkamah Persekutuan memang masih kabur tentang konsep itu. Katanya, "Sesiapa yang tak percaya sila baca keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kok Wah Kuan (2008) yang menangani isu berkenaan".

Aziz menyeru Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua badan kehakiman mengambil perhatian dan memberi penghakiman muktamad mengenai isu pemisahan kuasa yang menjadi idea pokok dalam konflik undang-undang mengenai kuasa speaker itu.

Aziz berkata kekaburan dan kekeliruan itu menyebabkan mahkamah terlalu menumpukan kepada isu-isu teknikal dan prosedur yang sepatutnya dibaca dalam konteks teori tadi. Beliau berharap Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan bertulis secepat mungkin supaya kita dapat mengetahui asas keputusannya.

"Setakat ini ia masih kabur dan kalau kita melihat isu ini dalam konteks pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada perlembagaan itu keputusan itu adalah keputusan yang salah".

Bagaimanapun, oleh kerana Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah paling tinggi yang sekaligus memainkan peranan mahkamah perlembagaan maka isu itu terhenti di situ. Aziz berkata terpulang kepada ahli-ahli politik untuk menjelaskan kepada rakyat isu yang sulit dan kontroversial ini.

"Merekalah hakim yang sebenar dalam kemelut politik di Perak. Apa yang malang ialah semua institusi yang sepatutya mempertahankan perlembagaan gagal berbuat demikian," ujarnya.

Sebelum ini tokoh-tokoh dan NGO tertentu seperti Datuk Param Coomaraswamy (bekas Presiden Majlis Peguam), Prof. Dr Shad Faruqi dan ALIRAN meragui keberkesanan penyelesaian melalui jalan mahkamah. Harakahdaily

Friday, April 17

Pengakuan BN akan kalah di Dun Penanti Permatang Pauh

(petikan Malaysiakini.com)

Sementara bekas timbalan ketua bahagian Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail berkata, isu tempatan seperti perasaan terpinggir masyarakat Melayu dalam beberapa dasar kerajaan pimpinan DAP itu boleh mempertingkatkan sokongan terhadap BN.

Tambahnya yang kini pegawai khas Datuk Seri Hishammudin Hussein, bagaimanapun sokongan pengundi bukan Melayu dilihat sukar ditembusi BN kerana “kepentingan Cina terjaga baik” di negeri itu.

Ditanya analisisnya tentang pilihanraya kecil yang bakal diadakan itu, beliau menjawab ringkas: “(BN) kalah”.

“PKR (akan) menang. (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yakin menang. Sebab itu dia kosongkannya (kerusi Penanti). Mereka menang, tapi tidak akan menang banyak,” kata bekas imam Masjid Negara itu lagi.

Selepas melepaskan jawatan exco dan timbalan ketua menteri minggu lepas, Mohammad Fairus semalam meletak jawatan ADUN Penanti.

Najib mula bosan dengan pilihanraya kecil ,mengaku kalah awal awal?


Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya," katanya dalam satu sidang media di Klang, hari ini. Kenyataan ini menyusul dalam keadaan lima PRK sebelum ini satu sahaja yang memihak kepada BN.

Adakah Najib sudah bosan dan sudah rasa cukup dipermalukan bila ada PRK ? Malah dia menyifatkan peletakan jawatan ADUN Penanti, Mohammad Fairus sebagai satu mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu.

Apakah maksud sebenar Najib dengan kenyataan diatas adalah kurang jelas. Namun yang jelas kedudukan sekarang keputusan PRK sebelum ini ialah 4 - 1. Jelas BN ditolak oleh rakyat. Kalau tidak mahu PRK saya cadangkan bubar semua Parlimen dan DUN kita bertempur dalam Pilihanraya Umum ke 13 secepat mungkin.

Zamry Lepas YB Gobind Macam mana?


Sesungguhnya keputusan Mahkamah Persekutuan menyebelahi Dr.Zambry Abdul Kadir dalam isu penggantungan beliau dan exco kerajaan negeri adalah sesuatu yang agak menarik untuk diperkatakan sebenarnya. Panel hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Alauddin Mohd Sherif hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Alasannya ia bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Persekutuan. Justeru itu ini bermakna, undang-undang persekutuan tidak memberi kuasa kepada mana-mana Speaker Dewan untuk menggantung mana-mana wakil rakyat sebenarnya. Jika inilah keputusannya, maka sepatutnya kes yang melibatkan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (foto) juga perlu dilihat dalam konteks yang sama. Ini bermakna beliau juga harus dibebaskan daripada penggantungan menghadiri sidang dewan rakyat selama satu tahun. Jika ada Undang-Undang Persekutuan yang memperincikan perkara itu, ia bermakna Pakatan Rakyat juga boleh mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat itu sendiri. Jangan bersikap "double standard" dalam kes ini. Jika tidak rakyat tetap akan mengatakan bahawa keputusan yang dibuat terhadap kes Perak itu hari ini memang sudah dircancang dan mendapat perkenan daripada Perdana Menteri, Najib Razak sendiri

Speaker sah terima surat peletakan jawatan Fairus


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Abdul Halim Hussin mengesahkan telah menerima salinan asal surat peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus sebagai ADUN Penanti, semalam.

Abdul Halim bagaimanapun masih enggan mendedahkan daripada siapa surat tersebut diterima.

"Apa yang penting, kita menerima surat tersebut.

"Awalnya kita menerima salinan faks dan kemudian salinan asal mengenai peletakan jawatan Fairus," katanya sebagaimana yang disiarkan dalam Mstar sebentar tadi .

Beliau juga turut enggan mendedahkan masa sebenar salinan surat asal tersebut diterima.

Abdul Halim berkata, beliau akan mengadakan sidang media di pejabatnya lewat petang ini berhubung perkara itu.

Ditanya bila beliau akan menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN tersebut, Abdul Halim berkata, beliau akan berbuat demikian secepat mungkin.

Wednesday, April 15

RM 45,786 wang rakyat diguna untuk 'puji' Rosmah?

KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) - Demi memuji dan 'memuja' isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Kerajaan Negeri Sembilan didakwa membelanja sejumlah RM45,786.00 membeli iklan di sebuah akhbar arus perdana.

Iklan satu muka itu telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Sembilan untuk 'memuja' Rosmah yang sudi melawat daerah Rembau.

Ketika ramai pihak sedang memberikan tumpuan ke Bukit Selambau, Batang Ai dan Bukit Gantang pada 7 April lalu, Rsomah telah melawat Pusat Anak Permata Negara di Chembong, Rembau.

Menurut sumber akhbar itu harga iklan untuk memuja Rosmah itu sahaja sudah berharga RM45,786.00

Demikian didedahkan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham dalam blognya yang mengecam Kerajaan Negeri Sembilan kerana membazirkan sebegitu besar jumlah wang rakyat hanya untuk memuja dan mengambil hati isteri seorang Perdana Menteri .

"....bagaimana dengan iklan di akhbar lain?

"Itu tidak termasuk berapa perbelanjaan banner sambutan, bendera (termasuk kos pemasangan) dan lain persiapan yang dibazirkan," katanya yang juga dikenali sebagai 'Chegubard'.

Sementara itu beliau juga turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar yang sama pernah dilaporkan dalam Laporan Audit Negara bahawa pernah melakukan penyelewengan dengan menggunakan wang untuk rakyat miskin dan peruntukan lain untuk mengubah suai dapur rumahnya dan membuat 'banner' ucapan dan sambutan. - azm/mks._

Bubar Dun Perak jika BN kuat

IPOH, 15 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) terkejut dan kecewa dengan kenyataan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir di dalam media cetak mengatakan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini tidak mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu sebagai menafikan mahkamah rakyat bagi memilih pemimpin yang bersih dan adil.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Ipoh Timur, Salmah Salleh dalam kenyataan medianya hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kudeta BN Perak, Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, DPPK IT juga kecewa dengan dakwaan pemimpin pemimpin Umno/BN yang mendakwa parti itu mendapat sokongan besar dari orang Melayu, dalam masa yang sama menyifatkan kemenangan calon PAS, Dato' Mohammad Nizar Jamaluddin yang menewaskan calon BN, Ismail Safian di Parlimen Bukit Gantang adalah kerana PAS mendapat sokongan dari orang Cina yang telah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah PAS dan DAP.

"Keputusan Pilihan raya Kecil Bukit Gantang baru-baru sebenarnya petanda jelas menunjukkan rakyat tidak bersetuju dengan cara BN mengambil alih kerajaan Perak pada awal Februari lalu. BN sebenarnya menguasai kerajaan tidak mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri serta membelakangkan undang-undang," katanya.

DPPK IT melihat contoh sebelum ini seperti kenyataan Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali pernah menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Hulu bagi membuktikannya bahawa rakyat tidak menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini akan berulang lagi dengan kenyataan yang sama.

"Kita mencabar jika benar-benar BN / Umno masih lagi diperlukan oleh rakyat Perak, Zambry boleh menjemput Nizar sama-sama memohon perkenan mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang akan menyebabkan pelabur takut untuk datang ke Negeri ini," katanya. - mns_

Elizabeth setuju terima semula jawatan


PETALING JAYA, 15 April: Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong bersetuju untuk menerima semula jawatannya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebentar tadi.

"Ini adalah satu keputusan yang berat dalam hidup saya, saya menerima tawaran yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk kekalkan jawatan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, keputusan kerajaan negeri mengekalkan jawatan Elizabeth Wong sebagai Exco negeri dan
Adun Bukit Lanjan, menguntung Barisan Nasional (BN).

"Terima kasih atas keputusan (kerajaan Selangor itu)....kita akan mengeksploitasi isu tersebut," katanya ketika mengulas keputusan kerajaan negeri.

Isu Perak: Bukan ugutan, tetapi pengajaran pada Najib!

UALA LUMPUR, 15 April : - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar menegaskan kenyataannya sebelum ini bukan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak serta tidak bertujuan menghasut rakyat agar melakukan demonstrasi sebagaimana berlaku di Pattaya, Thailand.

Kamaruddin berkata demikian sebagai respons kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Besar Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir yang menyifatkan kenyataannya sebagai amat tidak bertanggungjawab, berbahaya serta sengaja mahu mencetuskan ketegangan dan keadaan huru-hara dalam masyarakat.

Kamaruddin menegaskan, merujuk balik kenyataannya itu, beliau menyatakan Najib perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman peristiwa yang berlaku pada sidang Asean yang dihadirinya di Pattaya.

"Dalam kenyataan saya yang lalu, saya menegaskan jika rakyat tidak berpuas hati dengan cara kerajaan digulingkan, rakyat akan berhimpun dan bertindak. Jadi, saya mengatakan dengan pengajaran tersebut adalah lebih baik Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan serta diadakan pilihan raya.

"Saya menyatakan kebimbangan saya dan tidak mustahil perkara seperti itu juga akan berlaku di Malaysia,"tegas Kamaruddin sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu Kamaruddin juga beranggapan kenyataan Najib yang mengakui sekarang ini era 'the goverment knows best' sudah tamat.

"Sama ada Dato' Hishamuddin, Dato' Zambry atau menteri kabinet yang lain seharusnya menghayati hasrat Perdana Menteri yang baru ini serta mendengar pandangan semua pihak dan tidak patut menganggap dirinya tidak lagi boleh ditegur," jelas Kamaruddin.

Sebelum ini, Kamarudin dalam kenyataanya kepada Harakahdaily berpendapat keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan referendum rakyat terhadap BN yang telah merampas kuasa di Perak secara tidak bermoral Februari lalu.

Justeru katanya, jika Dun tidak dibubarkan, PAS bimbang apa yang berlaku di Thailand akan turut terjadi di Perak dan jika ianya berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan.

"Perdana Menteri sendiri telah melihat kesannya di Pattaya bila rakyat tidak berpuas hati dengan rampasan kuasa jadi seharusnya beliau bertindak segera,"katanya.

Dalam kenyataanya itu, Kamaruddin turut menegaskan BN tidak seharusnya mengenepikan suara rakyat di Bukit Gantang yang jelas menolak mereka dan penolakan tersebut juga merupakan petanda mereka tidak menerima kerajaan haram yang diterajui oleh Umno di negeri tersebut. Harakahdaily.

Sunday, April 12

Adun BN tidak percayai MB Terengganu?

KEMAMAN, 12 April :- Khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat Terengganu sejak hampir empat bulan lalu kononnya akan ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato? Ahmad Said semakin menjadi kenyataan.

Justeru, satu amaran 'keras' terpaksa dikeluarkan oleh MB Terengganu tersebut terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang berhasrat berbuat demikian.

Dato' Ahmad berkata mana-mana di kalangan Adun BN Terengganu yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya akan berdepan dengan tindakan disiplin termasuk dipecat

"Ya, jika usul itu datang dari pihak pembangkang (PAS) kami (BN) dalam kerajaan akan menolaknya. Tetapi jika, ia (usul) dibawa (kemukakan) oleh wakil rakyat Barisan Nasional, dia (Adun) akan dipecat, itu biasalah.

"Jika usul (undi tidak percaya) itu dapat sokongan, kita (saya) akan bubar dewan (Dun Terengganu) itu sahaja. Kita (BN) terpaksa menerimanya kalau dia nak (hendak) buat..apa nak kata," tegasnya ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, di Bukit Takal, 11 April lalu.

Dato' Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata usaha mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah satu perkara yang serius.

Selain itu, mengulas 'khabar angin' yang sama akan berlaku perubahan jawatan beberapa Menteri Besar termasuk di Terengganu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato? Seri Najib Tun Abdul Razak, Dato? Ahmad Said enggan mengulas lanjut.

Beliau menjelaskan tidak mengetahui apa-apa tentang hal 'khabar angin' (cadangan) bakal berlaku pertukaran Menteri Besar tersebut dan terserah kepada Tuanku.

"Itu (tukar Menteri Besar) saya tidak tahulah, Terengganu kena tanya dengan Tuanku sendirilah," ujarnya dengan menyelar pihak media yang sering kali menggembar-gemburkan isu yang tidak sahih dan 'khabar angin'.

Khabar angin di negeri ini semakin kuat mengatakan terdapat usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Adun Barisan Nasional (BN) pro-mantan MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh.

Usul tersebut dikatakan akan dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bermula Isnin (13 April) ini yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman. Harakahdaily.

Mungkinkah KJ + Pak Lah + Anwar bawa usul undi Tak Percaya



Mungkin kah KJ dan Pak Lah akan membawa usul undi tak percaya kepada Najib dalam persidangan parliment bulan Jun nanti.Ini disebabkan Najib tak lantik KJ sebagai menteri .Pertembungan sekarang menjadi 3 penjuru Najib+Mahathir . KJ+PAK Lah ,Anwar+PR.

ini semua bakal terjadi kerana najib lah yang menyebakan Pak Lah letak jawatan awal.Walaupun KJ menang Najib terus mengetepi KJ .Didalam barisan kabinet Najib tidak melantik orang orang pak lah sebagai menteri.Mungkin najib lupa didalam ramai ramai ahli parlimet adalah terdiri daripada orang pak lah.Sebagai mana Najib lupa Speaker DUN Perak adalah Adun PR



Jika di buat usul undi tak percaya pasti najib akan tumbang.Apakah sebenarnya pertemuan Pak Lah dengan Anwar semasa maulidur Rasul di Hulu Langat.Apakah motif KJ sendiri menghantar Passport Anwar semasa Anwar di bebaskan.Apakah Anwar bersama Tuan Guru Haji Hadi ,Dato Harun Din sampaikan pada TOk Guru Nik Aziz awal bulan semasa pertemuan di Kota Bharu.KJ dan Pak Lah ada rancangan bersama Anwar

Thursday, April 9

Apakah KJ akan dikenakan tindakan??

Selesai sudah peralihan kuasa Tun Abdullah kepada Najib, apabila petang tadi barisan kabinet baru diumumkan.Yang menang dalam pemilihan umno baru baru ini majoritinya dilantik menteri dan timbalan menteri, apa yang menjadi persoalan sekarang kenapa Ketua Pemuda Umno yang baru dipilih tidak tersenarai dalam barisan kabinet.Tapi sebalik nya calon yang kalah didalam pemilihan ketua pemuda umno dilantik sebagai timbalan menteri.Juga menghairan kan naib ketua pemuda dilantikan timbalan menteri.Kebiasaannya Ketua Pemuda Umno akan dilantik menteri penuh saperti mana Ketua Wanita Umno dan Ketua Puteri Umno.

Apakah ketua pemuda umno yang menang baru baru ini bakal dikenakan tindakan sebagaimana Jawatan kuasa dispilin umno ada menyatakan akan mengambil tindakan keatas pimpinan kanan kerana didapati mengamalkan politik wang dua tiga hari sebelum pemilihan.Mungkin yang dimaksudkan oleh jawatankuasa dispilin ialan Kairi Jamaluddin.Munkin keputusan jawatankuasa dispilin umno hanya menjaga hati mantan presiden umno(Tun Abdullah), cuma memberi amaran kepada khairi walaupun pun didapati bersalah mengamal politik wang sebelum Pak Lah meletak jawatan 2 Mac lalu,kemungkinan keputusan itu akan dikaji semula selepas Pak Lah tiada kuasa lagi.
Situasi ini mengundang perpecahan didalm pergerakan pemuda umno.Kita sama sama tunggu apakah motif sebenar Najib tidak melantik Khairi sebagai Menteri atau pun Timbalan Menteri didalam barisan kabinet nya.

Surat Tok Guru Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Wednesday, April 8

Cina Tolak BN

Tahniah buat PR,dari 3 PRK rata rata orang cina tolak BN, Allah telah membuka mata hati rakyat cina Malaysia hari ini mana yang hak mana yang batil.Kalau orang cina boleh berubah mengapa orang melayu tua di saluran satu masih dulu kini dan selamanya dengan umno parti yang telah uzur, seusia dengan pengundi saluran satu ini.

Syabas kerana rakyat tetap bersama Pakatan Rakyat




Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan pilihanraya kecil pada 7hb April 2009.

Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan.

Tahniah saya ucapkan kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP semakin hari semakin utuh.

Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut Perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama.

Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.

Kemenangan Dato? Seri Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.

Kepada pendokong Pakatan Rakyat di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa Perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak.

Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan.

Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa Perubahan, bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air.

Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan.

Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Pakatan Rakyat tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.

Tahniah kepada DS. Nizar dan semua.

Setelah SPR mengumumkan dengan rasminya Ir. Hj. Muhammad Nozar Jamaluddin sebagai Ahli Dewan Rakyat Bukit Gantang yang baru, dengan kemenangan majoriti lebih tinggi iaitu 2789 undi. Tidak ada ucapan yang perlu saya dahulukan melainkan ucapan sekalung tahniah kepada Dato' Seri dan semua yang terlibat dalam memenangkan calon PAS itu.

Kemenangan di Bukit Gantang adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kerajaan rampasan kuasa di Perak perlu juga ditamatkan riwayatnya dengan segera.

Gelombang amarah rakyat dibuktikan di Bukit Gantang, ayoh kita nyahkan parti perampas kuasa dari bumi perak ini

Selain itu kemenangan ini adalah isyarat kepada penolakan Najib sebagai PM yang baru.

Saturday, April 4

Cabar pelantikan MB, Mahkamah Tinggi terima permohonan Nizar

BUKIT GANTANG, 4 April (Hrkh) - Calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin melahirkan rasa syukur apabila permohonan beliau untuk mencabar proses pelantikan Menteri Besar baru iaitu Dato' Dr Zambry Abdul Kadir telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Kini tiada lagi istilah derhaka terhadap sultan kerana kita akan hanya membicarakan kes pelantikan Menteri Besar ini menurut prosedur perundangan," ujarnya kepada Harakah di program Khidmat Kesihatan di Kampung Baru Jelutong, Changkat Ibol baru-baru ini.
Tegasnya, meskipun terdapat pelbagai halangan dan rintangan termasuklah tindakan Peguam Negara untuk memutarbelitkan isu dan fakta, namun ia sedikitpun menjejaskan kebenaran yang bakal terbukti.
"Walaupun pada peringkat awal terdapat pelbagai tuduhan dan fakta yang cuba diputar belit oleh peguam negara tetapi kita bersyukur selepas Hakim Abdul Rahim mengumumkan keputusan bahawa kes ini akan diteruskan," tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa keputusan tersebut telah melenyapkan isu derhaka yang dipalitkan terhadapnya oleh Umno-BN setelah berlakunya peristiwa pelantikan Zambry.
"Dengan keputusan ini juga menyebabkan tuduhan mengenai derhaka kepada Sultan hancur berkecai kerana isu tersebut tidak pernah timbul, tiada kena mengena dengan pihak istana.
"Kini apa yang ada hanyalah kes bagi membuktikan pelantikan Zambry sah ataupun tidak," katanya lagi.
Pada majlis yang sama, beliau diperiksa tahap kesihatan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas calon PAS parlimen Bukit Gantang pada pilihan Raya Umum ke-11 lalu, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali.
Nizar tersenyum mendengar keputusan pemeriksaan tekanan darah beliau oleh Lo'Lo' sebagai stabil dan baik.
Ia disertai tepukan gemuruh penyokong dan penduduk yang hadir meskipun hujan sedang turun dengan lebat. - mks._

Wednesday, April 1

Slogan "Mohon Restu Rakyat"bukti Zambry MB Haram?

Slogan "mohon restu rakyat" bukti Zambry MB haram?



Ditulis oleh Te@M.IT
Selasa, 31 Mac 2009 08:45
BUKIT GANTANG, 31 Mac - Sekitar kawasan parlimen Bukit Gantang kini dipenuhi dengan poster calon BN, Ismail Saffian dan Zambry bersama dengan moto "mohon restu rakyat". Slogan ini jauh berbeza dengan slogan BN dalam pilihan raya sebelum-sebelum ini yang begitu gah dengan kemajuan dan berbangga dengan pembangunan yang dibuat oleh mereka.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah melihat ia suatu yang melucukan apabila menafikan ia suatu referendum rakyat tetapi pada masa yang sama memohon restu rakyat.
Slogan ini umpama memohon restu rakyat menerima kerajaan BN haram di Perak. Ramai penganalisis politik dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk calonnya menganggap pilihan raya kecil di Bukit Gantang ini sebagai referendum rakyat terhadap rampasan kuasa di Perak dan kepimpinan UMNO yang baru di bawah Dato Najib Tun Razak.
Menurut beliau, "slogan ini sekaligus membuktikan bahawa beliau akui rakyat Perak belum menerimanya sebagai Menteri Besar. Maka dengan sendirinya kita boleh tafsirkan bahawa beliau sedar bahawa beliau adalah Menteri Besar haram dinegeri Darul Ridzuan kerana belum diiktiraf rakyat."
Asmuni menerusi kenyataan media tidak menolak perkataan itu dan berkata bahawa harapan Pakatan Rakyat cerah tetapi tidak mahu terlalu yakin.
Walaubagaimanapun sebaliknya pemimpin BN/UMNO menolak pilihan raya kecil kali ini sebagai referendum rakyat seperti yang disebut-sebut.
Zambry dilaporkan berkata, "Bagaimana anda boleh menganggap ini sebagai satu referendum... pilihan raya kecil Bukit Gantang hanya satu pilihan raya kecil...bukannya pilihan raya umum yang tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat Perak," (sumber:mstar).
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Muhyidin Yasin turut tidak bersetuju pilihan raya kecil kali ini sebagai medan pungutan suara rakyat terhadap kepimpinan baru Dato' Najib tun Razak.